Sunday, June 20, 2010

AKHLAK REMAJA : KONSEP MURABBI KEPADA ILAHI

IBADAH

Untuk menyelesaikan segala permasalahan haruslah kembali kepada pencipta kerana Sang Pencipta mengetahui perihal dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk makhluk yang dicipta olehNya. Mengembalikan ketaqwaan kepada Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang merupakan jalan penyelesaian yang terbaik. Allah berfirman dalam al-quran:

" أَنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلاَةُ "

Maksudnya: "Bahawasanya pertama sekali yang dihisab pada seseorang hamba di hari kiamat ialah solatnya (sembahyangnya)."

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Allah SWT:

Yang bermaksud: "…. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

Sebelum melakukan ibadah solat, wajiblah pelakunya menyucikan diri dari hadas besar dan kecil, ini merupakan kewajipan untuk ibadah solat itu diterima. Justeru kita haruslah mengambil iktibar yakni untuk memulakan sesuatu, kita harus mensucikan diri kita dari segala bentuk pemikiran negatif.

إِنَّمَاالأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَالُلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan.

Selepas berlakunya proses pembersihan pemikiran dari unsur negatif, niat haruslah diambil kira. Sebaik-baik niat hanyalah untuk mendapat keredhaan Allah taala. Sekiranya pelaku dosa mengembalikan niat hanya untuk Allah taala, mana mungkin akan berlakunya masalah keruntuhan akhlak seperti yang dinyatakan sebelum ini. Logikkah membunuh bayi yang baru lahir itu diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah taala? Logikkah membunuh secara terbuka itu diniatkan untuk mencari keredhaan Allah? Sama-sama kita fikirkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Siapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya’ dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya.

Maka sama-sama lah kita muhasabah diri dengan melihat ibadah masing-masing samada cukup adab-adabnya, teratur susunan rukun-rukunnya dan terpelihara segala niat dan kehendak dari sudut zahir dan batin.

Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya." ( Surah al-Baqarah ayat : 45 -46 )

ILMU

Kurangnya keinginan untuk menuntut ilmu yang menghasilkan golongan yang buta agama semakin menular di segenap tempat khususnya Negara Malaysia yang kita cintai. Banyak majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak-pihak masjid, jabatan, pertubuhan Islam dan juga orang persendirian namun kurang mendapat sambutan dari kalangan masyarakat setempat khususnya golongan remaja. Mereka yang menghadiri program-program sebegini adalah terdiri daripada golongan pencen dan ramai yang terdiri daripada umur 40 tahun ke atas. Sedangkan penyumbang yang aktif kepada pertumbuhan gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah mereka yang terdiri daripada remaja-remaja dan dewasa sekitar umur awal 30an.

“KUALA LUMPUR 31 Julai - Jenayah membabitkan pelajar bukanlah sesuatu yang baru namun bilangannya saban tahun menunjukkan peningkatan.Buktinya tahun lalu sahaja, seramai 8,809 pelajar berusia antara 7 dan 18 tahun ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kes-kes jenayah. Daripada jumlah itu, 3,683 terlibat dalam jenayah kekerasan manakala selebihnya jenayah harta benda. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, remaja berusia 16 hingga 18 tahun mendahului senarai dengan 6,435 tangkapan, diikuti pelajar berusia 13 hingga 15 tahun (2,227 tangkapan). Tidak kurang hebatnya, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun turut termasuk dalam senarai itu dengan 147 tangkapan. Pelajar daripada kaum Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 72.7 peratus atau 6,401 orang diikuti India (10 peratus atau 876 orang) dan Cina (7.3 peratus atau 641 orang)”

Utusan Malaysia 31 Julai 2009

Allah (swt) berfirman: "Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?."(surah az-Zumar,ayat:9)

Firman Allah (swt): "Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, (demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(surah Ali 'Imran,ayat:18)

FirmanNya: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)."(surah Fathir,ayat:28)

Nyata sekali kebaikan menuntut ilmu. Menuntut ilmu bukan sahaja mempertingkatkan jatidiri dan integriti seseorang bahkan juga menjadikan si penuntut sedar bahawa segala perbuatan buruk akan menjadi faktor akan keberadaannya di hari akhirat nanti.

Firman Allah yang mengingatkan manusia berbunyi,

"Maka sesiapa yang berbuat kebaikan walau sebesar zarah, nescaya Dia akan melihatnya, Dan sesiapa yang berbuat kejahatan walau sebesar zarah, nescaya Dia akan melihatnya"

Marilah sama-sama berlumba untuk mendapatkan maghfirah dari Allah dan menjadi seorang yang suka akan ilmu pengetahuan. Seperti kata pepatah : ‘Semakin tunduk semakin berisi’ Jadilah orang yang banyak ilmu pengetahuan kerana semakin banyak ilmu yang diperolehi, semakin kita menyedari kelemahan diri kita sebagai seorang insan yang amat lemah disisi Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment