Sunday, June 20, 2010

KERUNTUHAN AKHLAK KINI : SIAPA YANG HARUS DIPERSALAHKAN

Daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw), beliau berkata, "(Pada suatu hari) Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda saw menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang- orang yang soleh?" Lalu Nabi saw bersabda "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".

Banyak peristiwa-peristiwa yang menyayat hati berlaku dewasa ini. Menjadikan hidup pada zaman sekarang penuh dengan kerisauan, ketakutan dan kucar kacir. Saban hari kita dikejutkan dengan berita pembuangan bayi. Perbuatan yang terkutuk yang dilakukan untuk menyembunyikan kesilapan diri. Juga pembunuhan ‘ala mafia’ yang dilakukan secara terang-terangan yang terjadi kepada pengurus Kelab Malam, manakala pada pagi ini, 17 Jun 2010, kita dikejutkan dengan isu kehilangan seorang anak kecil perempuan seumpama kes adik shalini. Sama-sama kita doakan akan keselamatan anak-anak kecil ini yang tidak diketahui status hingga kini. Mengapakah perkara-perkara ini berlaku? Mungkinkah ini yang dimaksudkan oleh Rasul junjungan sepertimana hadith baginda:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw,
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing"

Tatacara hidup pada zaman jahiliyah kini kembali berpesta pada zaman kini. Dahulu, para kuffar jahiliyah menanam hidup-hidup anak perempuan mereka, tetapi kini kerana terdesak ataupun malu dengan kesilapan yang dilakukan diri sendiri, mereka menanam dan membuang bayi yang tidak berdosa tidak mengira jantina. Kalau dulu, pada awal kedatangan Islam, masyarakat jahiliyah menganggap pernikahan yang sah adalah sesuatu yang ganjil dan zina adalah perkara biasa, kini ada golongan yang malu menyatakan diri mereka masih suci dan tidak pernah terjebak ke alam seks bebas. Penipuan dalam perniagaan semakin berleluasa dan riba semakin menular dalam masyarakat. Rasuah yang dianggap hina dan menindas golongan rendah dan memberi kesenangan kepada sebelah pihak sahaja semakin menjadi-jadi dan merupakan cara yang paling mudah untuk mendapatkan sesuatu urusniaga. Namun sesiapa yang mengamalkan tatacara hidup Islam yang sebenar akan dilabelkan ganjil dan sangat asing dalam hubungan masyarakat. Sebagai contoh yang lain pula, apakah respon anda sekiranya melihat seorang gadis yang mengenakan skirt pendek, tidak bertudung, mengenakan hiasan dan makeup yang mengiurkan sedang berjalan-jalan di sekitar pusat membeli belah. Apakah respon anda? Semestinya jawapan yang sering didengar adalah perempuan tersebut penuh dengan style, mengikuti peredaran zaman, pandai memilih fesyen yang sesuai untuk diri dan bermacam-macam respon yang positif. Situasi kedua, seorang pemuda yang berjalan-jalan di pusat membeli belah tersebut dengan mengenakan pakaian ala sunnah seperti berjubah putih, mengenakan kopiah dan dililit serban putih, menggunakan celak mata dan bertongkat seperti nabi. Ramai yang akan mengatakan orang ini adalah gila, tidak mengikuti peredaran fesyen kini dan dianggap orang yang sesat. Banyak lagi jawapan negatif akan diberikan kepada insan yang mempertahankan sunnah. Secara lumrahnya, jawapan positif adalah lebih baik daripada jawapan negatif. Namun, apabila dinilai dari sudut agama, jawapan-jawapan ini membenarkan hadith rasulullah sebelum ini dan berbahagialah insan-insan yang dianggap ganjil. Tuuba lil Ghuraba’!!

Imam Jaafar bin Sadiq pernah berkata : "Allah swt menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara" -

1. Allah menyembunyikan keredhaan-Nya di dalam ketaatan kepada-Nya, maka janganlah kamu menghinanya, maka boleh jadi keredhaan-Nya terdapat di dalamnya.

2. Allah menyembunyikan kemurkaan-Nya di dalam penderhakaan terhadap-Nya. Maka, janganlah kamu memandang ringan terhadapnya. Boleh jadi kemurkaan terdapat padanya.

3. Allah menyembunyikan wali-waliNya di kalangan hamba-hambaNya. Maka janganlah kamu menghina seorang pun dari kalangan hamba-hamba Allah. Boleh jadi wali Allah terdapat di kalangan mereka".

No comments:

Post a Comment