Sunday, June 20, 2010

TAJDID SATU PENYELESAIAN

MENCIPTA SUASANA BARU

Allah swt berfirman dalam surah Ar-Ra'du (13) : 11
“Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum jika bukan kaum itu sendiri yang merubahnya”

Bertitik tolak dari diri sendiri, tidak akan berubah diri sendiri melainkan kita sendiri yang mahu merubah keadaan diri kita. Masyarakat sekeliling hanyalah merupakan fasilitator (pemudah cara) yang dilantik secara tidak sedar untuk membantu kita mengalami perubahan. Seorang bapa yang kerjanya adalah seorang pencuri secara lumrahnya tidak mahu anaknya menjadi pencuri sepertinya. Seorang ibu yang mencari sesuap nasi dengan melacur diri pasti tidak mahu anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi seorang pelacur. Secara tidak langsung perkara seperti ini adalah bertitik tolak dari diri sendiri. Individu itu haruslah menanam sifat mahu merubah kehidupan daripada melakukan maksiat dan segala bentuk jenayah kepada melakukan kehidupan beragama.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. Al Baqarah 208).

BERCAMPUR GOLONGAN YANG BAIK-BAIK

Golongan setempat yang bukan sahaja terdiri daripada rakan-rakan, bahkan ibu bapa, jiran tetangga haruslah menjadi pilihan utama untuk dijadikan kawan dan rujukan yang penting dalam menjalani kehidupan seharian. Seperti hadith tadi, sekiranya kita silap memilih kawan, nescaya kita akan terikut-ikut jejak langkah kawan tersebut dengan bersama-sama melakukan kesilapan dalam kehidupan. Namun, sekiranya kawan tersebut dipilih berdasarkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan akhlak yang berhemah, kita akan terikut-ikut rentak kehidupan dan cara pemikiran mereka. Inilah kuasa pengaruh rakan. Sepertimana hadith Rasullullah saw:

Sekadar renungan bersama.

"Berkawan lah dengan pembuat minyak wangi, nescaya harumannya akan terkena bajumu juga. Jangan berkawan dengan si tukang besi (atau tukang pembuat pedang), percikan apinya akan terkena bajumu lalu boleh terbakar."

Banyak agensi-agensi agama yang boleh para remaja khususnya terlibat secara langsung. Dalam sudut dakwah di Sarawak khususnya, terdapat HIKMAH (Harakah Islamiah), ABIM (Angkatan Belia Islam Sarawak), BPP-MIS (Biro Perkhidmatan Pendidikan-Majlis Islam Sarawak), PERKEPIS (Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak). Semua agensi2 ini ditubuhkan atas manhaj yang satu yakni memartabatkan Islam di muka bumi. Sekiranya kembali kepada agama Islam, Maka cogankata Allah Didahulukan, Rasulullah Diutamakan menjadi pemangkin kepada diri untuk terus maju dalam diri dan musnahlah segala kemungkaran dan kerosakan yang menular kini. Ada yang boleh menegur sekiranya kita melakukan kesilapan dan ada yang boleh menunjukkan jalan untuk kita mendekatkan diri kepada Ilahi. Sepertimana Hadith Rasulullah saw :

“Alaikum bil jamaah"
Mafhumnya : Hendaklah kamu semua berada dlm SATU jamaah.

Semoga kita mendapat kesenangan hidup di dunia dan akhirat

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٠٣)


"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Q.S Ali Imran : 103)

AKHLAK REMAJA : KONSEP MURABBI KEPADA ILAHI

IBADAH

Untuk menyelesaikan segala permasalahan haruslah kembali kepada pencipta kerana Sang Pencipta mengetahui perihal dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk makhluk yang dicipta olehNya. Mengembalikan ketaqwaan kepada Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang merupakan jalan penyelesaian yang terbaik. Allah berfirman dalam al-quran:

" أَنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلاَةُ "

Maksudnya: "Bahawasanya pertama sekali yang dihisab pada seseorang hamba di hari kiamat ialah solatnya (sembahyangnya)."

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Allah SWT:

Yang bermaksud: "…. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

Sebelum melakukan ibadah solat, wajiblah pelakunya menyucikan diri dari hadas besar dan kecil, ini merupakan kewajipan untuk ibadah solat itu diterima. Justeru kita haruslah mengambil iktibar yakni untuk memulakan sesuatu, kita harus mensucikan diri kita dari segala bentuk pemikiran negatif.

إِنَّمَاالأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَالُلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan.

Selepas berlakunya proses pembersihan pemikiran dari unsur negatif, niat haruslah diambil kira. Sebaik-baik niat hanyalah untuk mendapat keredhaan Allah taala. Sekiranya pelaku dosa mengembalikan niat hanya untuk Allah taala, mana mungkin akan berlakunya masalah keruntuhan akhlak seperti yang dinyatakan sebelum ini. Logikkah membunuh bayi yang baru lahir itu diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah taala? Logikkah membunuh secara terbuka itu diniatkan untuk mencari keredhaan Allah? Sama-sama kita fikirkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Siapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya’ dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya.

Maka sama-sama lah kita muhasabah diri dengan melihat ibadah masing-masing samada cukup adab-adabnya, teratur susunan rukun-rukunnya dan terpelihara segala niat dan kehendak dari sudut zahir dan batin.

Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya." ( Surah al-Baqarah ayat : 45 -46 )

ILMU

Kurangnya keinginan untuk menuntut ilmu yang menghasilkan golongan yang buta agama semakin menular di segenap tempat khususnya Negara Malaysia yang kita cintai. Banyak majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak-pihak masjid, jabatan, pertubuhan Islam dan juga orang persendirian namun kurang mendapat sambutan dari kalangan masyarakat setempat khususnya golongan remaja. Mereka yang menghadiri program-program sebegini adalah terdiri daripada golongan pencen dan ramai yang terdiri daripada umur 40 tahun ke atas. Sedangkan penyumbang yang aktif kepada pertumbuhan gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah mereka yang terdiri daripada remaja-remaja dan dewasa sekitar umur awal 30an.

“KUALA LUMPUR 31 Julai - Jenayah membabitkan pelajar bukanlah sesuatu yang baru namun bilangannya saban tahun menunjukkan peningkatan.Buktinya tahun lalu sahaja, seramai 8,809 pelajar berusia antara 7 dan 18 tahun ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kes-kes jenayah. Daripada jumlah itu, 3,683 terlibat dalam jenayah kekerasan manakala selebihnya jenayah harta benda. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, remaja berusia 16 hingga 18 tahun mendahului senarai dengan 6,435 tangkapan, diikuti pelajar berusia 13 hingga 15 tahun (2,227 tangkapan). Tidak kurang hebatnya, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun turut termasuk dalam senarai itu dengan 147 tangkapan. Pelajar daripada kaum Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 72.7 peratus atau 6,401 orang diikuti India (10 peratus atau 876 orang) dan Cina (7.3 peratus atau 641 orang)”

Utusan Malaysia 31 Julai 2009

Allah (swt) berfirman: "Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?."(surah az-Zumar,ayat:9)

Firman Allah (swt): "Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, (demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(surah Ali 'Imran,ayat:18)

FirmanNya: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)."(surah Fathir,ayat:28)

Nyata sekali kebaikan menuntut ilmu. Menuntut ilmu bukan sahaja mempertingkatkan jatidiri dan integriti seseorang bahkan juga menjadikan si penuntut sedar bahawa segala perbuatan buruk akan menjadi faktor akan keberadaannya di hari akhirat nanti.

Firman Allah yang mengingatkan manusia berbunyi,

"Maka sesiapa yang berbuat kebaikan walau sebesar zarah, nescaya Dia akan melihatnya, Dan sesiapa yang berbuat kejahatan walau sebesar zarah, nescaya Dia akan melihatnya"

Marilah sama-sama berlumba untuk mendapatkan maghfirah dari Allah dan menjadi seorang yang suka akan ilmu pengetahuan. Seperti kata pepatah : ‘Semakin tunduk semakin berisi’ Jadilah orang yang banyak ilmu pengetahuan kerana semakin banyak ilmu yang diperolehi, semakin kita menyedari kelemahan diri kita sebagai seorang insan yang amat lemah disisi Maha Pencipta.

KERUNTUHAN AKHLAK KINI : SIAPA YANG HARUS DIPERSALAHKAN

Daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw), beliau berkata, "(Pada suatu hari) Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda saw menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang- orang yang soleh?" Lalu Nabi saw bersabda "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".

Banyak peristiwa-peristiwa yang menyayat hati berlaku dewasa ini. Menjadikan hidup pada zaman sekarang penuh dengan kerisauan, ketakutan dan kucar kacir. Saban hari kita dikejutkan dengan berita pembuangan bayi. Perbuatan yang terkutuk yang dilakukan untuk menyembunyikan kesilapan diri. Juga pembunuhan ‘ala mafia’ yang dilakukan secara terang-terangan yang terjadi kepada pengurus Kelab Malam, manakala pada pagi ini, 17 Jun 2010, kita dikejutkan dengan isu kehilangan seorang anak kecil perempuan seumpama kes adik shalini. Sama-sama kita doakan akan keselamatan anak-anak kecil ini yang tidak diketahui status hingga kini. Mengapakah perkara-perkara ini berlaku? Mungkinkah ini yang dimaksudkan oleh Rasul junjungan sepertimana hadith baginda:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw,
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing"

Tatacara hidup pada zaman jahiliyah kini kembali berpesta pada zaman kini. Dahulu, para kuffar jahiliyah menanam hidup-hidup anak perempuan mereka, tetapi kini kerana terdesak ataupun malu dengan kesilapan yang dilakukan diri sendiri, mereka menanam dan membuang bayi yang tidak berdosa tidak mengira jantina. Kalau dulu, pada awal kedatangan Islam, masyarakat jahiliyah menganggap pernikahan yang sah adalah sesuatu yang ganjil dan zina adalah perkara biasa, kini ada golongan yang malu menyatakan diri mereka masih suci dan tidak pernah terjebak ke alam seks bebas. Penipuan dalam perniagaan semakin berleluasa dan riba semakin menular dalam masyarakat. Rasuah yang dianggap hina dan menindas golongan rendah dan memberi kesenangan kepada sebelah pihak sahaja semakin menjadi-jadi dan merupakan cara yang paling mudah untuk mendapatkan sesuatu urusniaga. Namun sesiapa yang mengamalkan tatacara hidup Islam yang sebenar akan dilabelkan ganjil dan sangat asing dalam hubungan masyarakat. Sebagai contoh yang lain pula, apakah respon anda sekiranya melihat seorang gadis yang mengenakan skirt pendek, tidak bertudung, mengenakan hiasan dan makeup yang mengiurkan sedang berjalan-jalan di sekitar pusat membeli belah. Apakah respon anda? Semestinya jawapan yang sering didengar adalah perempuan tersebut penuh dengan style, mengikuti peredaran zaman, pandai memilih fesyen yang sesuai untuk diri dan bermacam-macam respon yang positif. Situasi kedua, seorang pemuda yang berjalan-jalan di pusat membeli belah tersebut dengan mengenakan pakaian ala sunnah seperti berjubah putih, mengenakan kopiah dan dililit serban putih, menggunakan celak mata dan bertongkat seperti nabi. Ramai yang akan mengatakan orang ini adalah gila, tidak mengikuti peredaran fesyen kini dan dianggap orang yang sesat. Banyak lagi jawapan negatif akan diberikan kepada insan yang mempertahankan sunnah. Secara lumrahnya, jawapan positif adalah lebih baik daripada jawapan negatif. Namun, apabila dinilai dari sudut agama, jawapan-jawapan ini membenarkan hadith rasulullah sebelum ini dan berbahagialah insan-insan yang dianggap ganjil. Tuuba lil Ghuraba’!!

Imam Jaafar bin Sadiq pernah berkata : "Allah swt menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara" -

1. Allah menyembunyikan keredhaan-Nya di dalam ketaatan kepada-Nya, maka janganlah kamu menghinanya, maka boleh jadi keredhaan-Nya terdapat di dalamnya.

2. Allah menyembunyikan kemurkaan-Nya di dalam penderhakaan terhadap-Nya. Maka, janganlah kamu memandang ringan terhadapnya. Boleh jadi kemurkaan terdapat padanya.

3. Allah menyembunyikan wali-waliNya di kalangan hamba-hambaNya. Maka janganlah kamu menghina seorang pun dari kalangan hamba-hamba Allah. Boleh jadi wali Allah terdapat di kalangan mereka".