Tuesday, May 17, 2011

KISAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

Setiap orang tahu siapa dia Umar bin Abdul Aziz r.a. selepas 4 orang Khulafa’ ar-Rasyidin, dialah khalifah yang terkemuka. Isterinya pernah berkata, “Mungkin ada orang lain yang lebih mengutamakan wudhu’ dan solat. Tetapi aku tidak pernah melihat orang yang lebih takut kepada Allah swt lebih daripada suamiku. Selepas solat isya’ setiap hari dia akan duduk di tempat yang dikhaskan untuknya bersolat dan akan berdoa dengan mengangkat tangannya serta menangis di hadapan Alllah swt hingga rasa mengantuk menewaskannya. Apabila dia sedar di tengah-tengah malam dia akan mula bersolat serta menangis di hadapan Allah swt”.
Diceritakan bahawa sejak beliau menjadi khalifah, beliau tidak pernah tidur dengan isterinya. Isterinya adalah anak perempuan Raja Abdul Malik. Ayahnya memberikan kepadanya intan permata sebagai maskahwin termasuklah sebutir intan yang indah. Kata Umar bin Abdul Aziz r.a kepada isterinya, “samaada kamu berpisah dengan segala intan permata itu kerana Allah swt supaya aku simpankannya di dalam Baitulmal, ataupun kamu bercerai denganku. Aku tidak suka tinggal di dalam sebuah rumah di mana terdapat begitu banyak kekayaan”.
Isterinya menjawab, “Aku rela berpisah dengan kekayaan yang beribu-ribu kali banyaknya, tetapi aku tidak sanggup bercerai daripadamu”.
Akhirnya segala intan permata yang ada padanya itu disimpan di dalam Baitulmal.
(Selepas Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia, Yazid bin Abdul Malik menjadi khalifah. Yazid berkata kepada kakaknya, “Kalaulah engkau mahu engkau boleh ambil kembali intan permata milikmu di Baitulmal”. Kakaknya menjawab, “mana boleh kekayaan yang aku campakkan semasa hayat suamiku dapat memuaskan hatiku selepas kematiannya “.)
Ketika Umar bin Abdul Aziz sedang berada di atas pembaringan menantikan ajal, beliau bertanya kepada orang-orang yang berada di sekelilingnya tentang sebab penyakitnya. Berkata salah seorang daripada mereka, “Pada fikiran kami, ini adalah kesan guna-guna.”
Beliau berkata, “Tidak. Ini bukan guna-guna”. Kemudian beliau memanggil hambanya lalu bertanya, “Apakah yang menyebabkan engkau meracuniku ?”
Hamba itu menjawab, “100 dinar dan janji kebebasan”.
Umar bin Abdul Aziz r.a mengambil wang 100 dinar itu daripada hambanya serta menyimpannya di dalam Baitulmal serta menasihatinya supaya lari ke suatu tempat yang jauh di mana dia tidak akan ditangkap.
Sebelum meninggal dunia, Muslimah dating lalu berkata kepadanya, “Tidak ada orang yang melakukan pada anak-anaknya sezalim yang kamu lakukan. Tidak seorang pun daripada anak lelaki kamu yang seramai 13 orang itu mempunyai apa-apa pun bagi menyara hidup masing-masing”.
Beliau bangun dari pembaringannya dan duduk lalu berkata, “Aku tidak melarang anak-anakku itu daripada apa yang mereka berhak mendapatnya. Aku memang enggan member kepada mereka apa yang sebenarnya hak orang lain. Kalau anak-anakku itu benar, maka Allah swt pasti menjadi pelindung mereka sebagaimana firmanNya di dalam kitabNya, “Dan Dia melindungi orang-orang yang soleh”. Tetapi, kalau mereka itu orang-orang yang berbuat kesalahan, maka mengapa patut aku pedulikannya ?”.

(Dato’ Haji Ishak Baharom dan Azrul Hakim Suradi, Solat & Keajaibannya, 2008, Anbakri Publika S/B, Petaling Jaya, m/s 122-124)

No comments:

Post a Comment