Tuesday, May 17, 2011

NASIHAT AL-GHAZALI : AKTIVITI HARIAN

Di antara kira-kira 100 buah buku karangan Imam Al-Ghazali Hujjatul Islam, terdapat sebuah buku yang berjudul Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah). Melalui buku ini Imam al-Ghazali menerangkan amalan-amalan atau apakah aktiviti harian yang patut dibuat oleh setiap orang Islam, pada setiap hari dan malam, sepanjang hidupnya. Mengikut Imam al-Ghazali, inilah satu panduan atau jadual hidup harian yang lengkap, yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam. Berikut dibawakan nasihat Imam al-Ghazali mengenai aktiviti yang patut dibuat di waktu pagi, selepas solat sunat Dhuha, hingga menjelang waktu gelincir matahari, iaitu masuknya waktu untuk solat fardhu Zuhur :-
Ada 4 perkara yang boleh dibuat, kata Imam al-Ghazali ;
PERTAMA : Yang terlebih afdal, bahawa engkau habiskan waktumu itu dengan mencari ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang sia-sia yang sangat diminati orang sekarang ini, yang mereka namakannya ilmu manfaat (padahal bukan ilmu yang bermanfaat). Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menambah takutnya dirimu kepada Allah swt, dan menambah penglihatanmu terhadap aibmu, dan menambah makrifatmu dalam engkau beribadah kepada Allah swt, dan menyedikitkan kegemaranmu terhadap dunia, dan menambah kegemaranmu terhadap akhirat, dan membukakan pintu hatimu untuk mengenali bermacam-macam penyakit amalanmu sehingga engkau dapat menjauhinya.
Ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang menambah pengetahuanmu terhadap tipu helah syaitan dan penipuannya, sehingga engkau arif dengan kehalusan penipuan syaitan ketika ia menggoda ulama su’ dan berjaya menjadikan mereka sebagai sasaran kemurkaan Allah swt, kerana mereka telah menggoda dunia dengan agama, dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan harta wakaf, harta anak yatim, harta orang miskin dan harta orang Islam. Disepanjang hari mereka hanya menghabiskan waktu untuk mencari pangkat dan kedudukan di hati manusia. Untuk itu, mereka sanggup menunjukkan segala kebolehan di hadapan orang ramai dan memperlihatkan kefasihan lidah mereka dalam berbahas dan berbincang.
Apabila engkau telah mencuba mengamalkan wirid-wirid dan ibadah (yang telah disebutkan) dan engkau dapati akan dirimu tidak merasakan sebarang keberatan dan tidak merasa malas melaksanakannya, bahkan Nampak pada dirimu minat yang sangat mendorong engkau untuk mencari lagi ilmua yang bermanfaat, dan engkau tidak mengkehendaki dengan mencari ilmu itu kecuali hanya keredhaan Allah swt dan akhirat, maka menuntut ilmu ketika itu lebih afdal daripada ibadah-ibadah sunat. Dan yang paling penting hendaklah engkau memastikan keikhlasan niatmu (kerana niatlah yang menentukan nilai amalanmu). Apabila niatmu tidak ikhlas, maka di sinilah tempat terpedayanya orang-orang yang jahil dan di sini pula tempat tergelincirnya kaki orang-orang yang cerdik pandai.
KEDUA : Bahawa engkau tidak berkuasa menghasilkan ilmu yang bermanfaat tetapi engkau berkuasa berbuat ibdah seperti berzikir, membaca al-Quran, bertasbih dan sembahyang. Maka ini adalah darjat orang yang ‘abid dan cara hidup orang yang soleh. Dengan cara ini juga engkau dapat tergolong di dalam kumpulan orang yang beruntung.
KETIGA : Bahawa engkau membuat sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikan kepada orang-orang Islam dan dapat mengembirakan hati orang-orang yang beriman, atau engkau menolong orang yang soleh di dalam pekerjaan mereka seperti berkhidmat kepada para ulama dan ahli sufi dan ahli-ahli agama dan berulang-alik dalam menunaikan hajat mereka, atau berusaha untuk member makanan kepada fakir miskin, atau menziarahi orang sakit, atau menghantar jenazah, maka semua ini adalah lebih afdal daripada semata-mata ibadah sunat sahaja, kerana amalan yang seperti ini selain sebagai satu ibadah, ia juga merupakan pertolongan kepada orang lain.
KEEMPAT : Jikalau engkau tidak dapat membuat salah satu daripada 3 perkara yang tersebut tadi maka berusahalah untuk menunaikan hajatmu sendiri dan mencari nafkah bagi dirimu dan keluargamu, sedangkan orang ramai selamat daripada sebarang gangguanmu, dan mereka juga selamat daripada bahaya lidah dan tanganmu. Dan agamamu pula selamat, iaitu apabila engkau tidak terlibat dengan sebarang kemaksiatan. Maka dengan itu, engkau akan dapat mencapai darjat Ashabul Yamin. Sekiranya engkau tidak dapat mencapai darjat As-Sabiqin.

(Imam Al-Ghazali, Bidayatul Hidayah, (Terjemahan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi), 2008, Wholesale-Mart Business Point S/B, Kuala Lumpur ; m/s 65-69).

No comments:

Post a Comment